Thursday, 22 May 2008

Tukar baju pelajar perempuan...PKPIM.

Ini aku setuju...kaler biru muda ker hijau muda ke...pakai tudung pun ada kaler skit...sopan dan bergaya skit..baru lah ada semangat budak2 tu g skolah.
-------------------------------------------------------------------------------------
Sumber : http://www.malaysiakini.com

Kementerian Pelajaran dicadangkan menukar pakaian seragam pelajar perempuan bagi menangani jenayah seksual melibatkan remaja dan hubungan seks sebelum perkahwinan dalam kalangan mereka.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) berkata, kementerian boleh menukar baju putih kepada baju berwarna kerana ia tampak sesuai dan tidak jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan.

"Baju berwarna putih sangat jarang untuk dipakai oleh pelajar perempuan menyebabkan ada daya tarikan di situ," kata pemimpin wanita PKPIM, Munirah Bahari hari ini.

"Lebih-lebih lagi ia (baju jarang) akan mengganggu mata lelaki, sama ada suka melihatnya atau pun tidak. Baju berwarna putih itu tidak sesuai dipakai oleh pelajar perempuan di sekolah kerajaan.

"Di sinilah punca yang boleh kita saksikan bahawa pelajar perempuan itu sendiri mempunyai daya tarikan supaya lelaki mendekatinya.

"Oleh itu terjadilah perkara-perkara seperti pencabulan, penzinaan dan sebagainya."

Beliau mencadangkan kementerian menilai semula secepat mungkin baju seragam sekolah untuk pelajar perempuan.

Jika kementerian ingin mengekalkan seragam warna putih, katanya, PKPIM mencadangkan pelajar perempuan diwajibkan memakai singlet dalam atau tudung yang labuh kerana ia tampak lebih kemas, selesa dan selamat.

"Kami mengharapkan agar Kementerian Pelajaran bertindak tegas dalam menangani isu ini dan rombakan perlu dilakukan ke atas pemakaian pelajar perempuan demi memenuhi syariat dan tuntutan agama Islam," kata Munirah, ketua hal ehwal wanita PKPIM, dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga berkata, sikap pelajar perempuan yang tidak tegas menjadikan mereka mangsa cabul.

"Apa yang terjadi sekarang ialah mereka tidak tegas dan membiarkan diri mereka diperlakukan apa-apa sahaja oleh sesiapa," katanya.

Isu yang melibatkan keselamatan diri remaja, tegas Munirah, merupakan isu yang perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.

"Namun begitu, isu ini dilupakan seketika (sekarang) apabila laporan sebegini tidak lagi tersiar di dada-dada akhbar. Sebaliknya isu ini akan menjadi panas apabila ada mangsa terbaru dilaporkan," tambahnya.

"Pakaian yang sopan dan menutup aurat boleh mencegah dan melindungi wanita daripada berlaku sebarang perkara yang tidak diingini."

Guru dapat aib - Mana Persatuan Guru?

Kesian cikgu..OKU lak tu...bapak dan sedara mara budak ni pun satu hal...sampai cikgu2 tak leh nak tegur skit...mana persatuan guru2...oooo...meeting lg.
-----------------------------------------------------------------------------------
Oleh Ahmad Shahrul Nizam Muhammad
ahmadshahrul@hmetro.com.my

KUALA LUMPUR: Hanya kerana memberi amaran kepada seorang murid akan melondehkan seluarnya, seorang guru terpaksa menerima aib ditahan empat anggota polis di kelas selepas perhimpunan pagi di sebuah sekolah elit, baru-baru ini.

Lebih memeritkan apabila guru dari sebuah negeri di pantai barat itu terpaksa meringkuk semalaman di sebuah balai polis, di sini.

Dia hanya dibebaskan selepas mendapatkan kerjasama seorang individu berpengaruh yang dikenalinya kira-kira jam 9 pagi.

Kejadian bermula apabila guru lelaki lingkungan 30-an terbabit memberikan kata dua kepada murid tahun dua itu seluarnya akan dilondehkan kerana melanggar disiplin sekolah secara berulang.

Murid itu, anak sebuah keluarga yang mempunyai kedudukan dalam masyarakat, diberi amaran itu kira-kira jam 3 petang.

Bagaimanapun, murid terbabit yang dikatakan sering menimbulkan masalah di kalangan rakan memaklumkan kepada bapanya yang turut mempunyai hubungan dengan pihak tertentu.

Sumber memberitahu Harian Metro, bapa murid terbabit tersinggung dengan kata-kata kasar guru itu terhadap anaknya.

Malah, katanya, bapa murid terbabit mendapat kerjasama daripada seorang saudaranya yang juga anggota polis yang dipercayai bertindak terhadap guru terbabit.

“Saya terkejut apabila guru terbabit dibawa menaiki kenderaan polis selepas ditahan di kelas kira-kira jam 8 pagi sebelum dibawa ke sebuah balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

“Saya percaya penahanan guru itu ada kaitan dengan tindakannya memberi amaran akan melondehkan seluar seorang murid di sekolah itu.

“Memang kejadian itu sungguh memalukan guru berkenaan, terutama ketika ditahan di depan murid dan guru lain,” katanya.

Menurutnya, walaupun pengurusan sekolah itu cuba merayu kepada anggota polis supaya dihentikan penahanan itu, tetapi tidak berjaya.

Guru terbabit yang tidak sempurna anggota kakinya akibat kemalangan jalan raya dikatakan terkejut sebelum dibawa ke balai polis bagi diambil keterangan.

“Saya difahamkan dia ditahan di lokap sebelum guru itu menggunakan pengaruh seorang kenalan bagi membebaskannya,” katanya.

Sumber itu berkata, bapa murid terbabit sanggup menggunakan tindakan yang tidak masuk akal untuk memalukan guru berkenaan.

“Sepatutnya, sebagai seorang yang berpendidikan tinggi, bapa murid itu perlu memikirkan tanggungjawab seorang guru berbanding bertindak mengikut telunjuk anak yang terlalu dimanjakan,” katanya.

Dia kecewa kerana sekolah contoh itu dicemarkan dengan insiden yang sungguh memalukan apabila seorang guru dibiarkan bermalam di lokap hanya kerana menasihatkan muridnya.

Sumber itu berkata, guru terbabit sedang berbincang dengan keluarga dan rakan bagi mengambil tindakan sewajarnya terhadap bapa murid dan anggota polis terbabit terbabit.

“Pengurusan sekolah cuba mengelak kejadian itu diketahui media dan Kementerian Pelajaran bagi menjaga imej sekolah itu,” katanya.

Menurutnya, tindakan segera perlu diambil bagi membantu guru berkenaan selain menjaga imej profesion perguruan yang semakin menjadi sasaran pihak yang tidak senang dengan peranan guru.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner II, Ku Chin Wah, ketika dihubungi mengesahkan penahanan guru terbabit oleh beberapa anggota polis di sekolahnya.

Beliau berkata, polis masih menjalankan siasatan sebelum sebarang tindakan dilakukan.

Tiada ALLAH S.W.T buat kristian.

No Allah to christian...There no God except Allah. Please understand that, bro.
------------------------------------------------------------------------------

Dr. Syed Ali Tawfik al-Attas
Ketua Pengarah,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)

Mingguan Malaysia 06 Januari 2008


SEWAKTU sampai di pejabat sehari selepas Krismas, saya perhatikan ada satu halaman daripada akhbar The Sun bertarikh 24 Disember 2007 telah diletakkan di atas meja saya. Ternyata kemudian yang ia adalah satu makalah berjudul “Pemimpin gereja menjelaskan penggunaan perkataan ‘Allah’. Saya mula membaca rencana tersebut, dan semakin jauh saya menekuninya semakin memuncak tekanan darah saya. Sesudah meneliti laporan tersebut dan memahami isi kandungannya, dari sedikit gusar saya jadi betul-betul berang.

Joseph Masilamany mengemukakan pendapat bahawa “penggunaan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan di kalangan penganut agama Kristian telah diamalkan dengan meluas untuk beberapa generasi di banyak negara dan bukan bertujuan menyinggung perasaan atau mengelirukan masyarakat Islam”, ini tentunya menurut para pemimpin Kristian. Wartawan tersebut menemu ramah penyunting akhbar mingguan Katolik tempatan, Paderi Lawrence Andrews, dan agaknya turut berbicara dengan Setiausaha Agung Majlis Gereja-Gereja Malaysia, Rev. Herman Shastri. Paderi Lawrence dilaporkan mendakwa, “Istilah ‘Allah’ yang digunakan oleh orang Kristian atau dalam tulisan mereka tidak bermaksud menggusarkan masyarakat Islam atau mencetuskan kekeliruan.

Kami mengikut Bible. Bible dalam bahasa Melayu menggunakan ‘Allah’ sebagai terjemahan istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk istilah Lord.” Beliau seterusnya mendakwa bahawa “Mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah pun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan perkataan ‘Allah’ telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God.” Beliau turut menyatakan bahawa “para penganut Katolik Malta juga menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.” Menurut Rev. Herman Shastri, “Para penganut Kristian yang tinggal di negaranegara majoriti Muslim menggunakan kalimat ‘Allah’ apabila merujuk kepada Tuhan dalam upacara doa umum (liturgy) mereka. Biarpun pihak berkuasa tidak membenarkan penggunaan perkataan-perkataan tertentu, pihak gereja akan terus memakainya kerana perkara ini bersangkut-paut dengan buku-buku suci kami (huruf condong adalah penegasan saya). Pendapat yang serupa turut dinyatakan dalam satu laporan terbitan akhbar The Star pada 28 Disember 2007.

Apa yang mendukacitakan adalah cara dua wakil Kristian tadi menghujahkan dasar pendirian mereka, yang, pada hakikat sebenarnya, hampa dari pertimbangan yang bernas lagi benar.

Biarlah saya tegaskan bahawa dakwaan yang mereka tidak berniat “menyinggung perasaan masyarakat Islam atau menimbulkan kebingungan” sarat dengan unsur perbantahan. Hakikatnya, perlakuan dan sikap mereka dalam mengemukakan hujah telahpun menggusarkan orang Islam. Mereka lupa, atau tidak memahami hakikat bahawa bahasa dan fikiran, yang satunya saling mencerminkan yang satu lagi; dalam perkataan lain, cara untuk mempengaruhi pemikiran adalah melalui bahasa, dan bahasa memberikan kesan terhadap cara seseorang berfikir. Kita telah diperingatkan akan dakwaan mereka, “Bible bahasa Melayu menggunakan ‘Allah’ untuk God dan ‘Tuhan’ untuk Lord.” Jelas bahawa makna-makna bagi istilah tersebut dalam Bible bahasa Melayu yang mereka rujuk, adalah salah. Apakah mereka ingin menunjuk dan mengajar orang-orang Melayu mengenai peristilahan yang betul dalam bahasa Melayu?

Bahasa Melayu memahami istilah ‘Tuhan’ untuk merujuk kepada God dan bukan istilah Lord. Orang-orang Melayu faham bahawa apabila istilah Arab ‘ilah’ digunakan, ia merujuk kepada istilah Inggeris ‘God’ dan istilah Melayu ‘Tuhan’; dan apabila istilah Arab ‘rabb’ digunakan, ia merujuk kepada istilah Inggeris ‘Lord’. Justeru, apabila kalimah syahadah diterjemahkan dalam bahasa Melayu, bunyinya “tiada Tuhan melainkan Allah”, yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai “there is no God except Allah”. Sekiranya istilah ‘God’ diterjemahkan sebagai ‘Allah’, maka terjemahan tersebut akan berbunyi ”Tiada Allah melainkan Allah” (”There is no Allah but Allah”), yang merupakan satu percanggahan. Terjemahan yang sebegitu janggal bukan sahaja tidak menjernih dan menyelesaikan masalah, bahkan akan menimbulkan perselisihan dan rasa bingung: Akan tetapi, Paderi Lawrence sememangnya sarat dengan percanggahan. Beliau menggunakan rangkai kata ‘bahasa Malaysia’ merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam terbitan mingguan mereka untuk memenuhikeperluan “ramai penganut Katolik yang bertutur dalam bahasa Malaysia” di negara ini. Walau bagaimanapun, beliau kemudiannya berhujah dengan menggunakan peristilahan yang terdapat hanya dalam bahasa Melayu.

Apabila seseorang itu merujuk kepada satu bahasa yang mencerminkan faham-faham maknawi ajaran-ajaran atau kelaziman aqidah yang tertentu - dalam hal ini bahasa Melayu - dia tidak seharusnya melalaikan pengertian penting bahasa tersebut bernisbah kepada bahasa-bahasa yang lain. Walau bagaimanapun, jelas bahawa Paderi Lawrence bergantung kepada fakta yang Jemaah Menteri memutuskan bahawa bahasa Melayu tidak lagi dirujuk sebagai ‘bahasa Melayu’, tetapi sebagai ‘bahasa Malaysia’. Itu ketetapan siasah dan justeru itu mungkin hanya bersangkutan dengan medan siasah.

Secara ringkasnya, bahasa Melayu khusus bernisbah kepada orang-orang Melayu. Ia adalah satu bahasa yang faham-faham utamanya yang berkenaan dengan hakikat insan dan nisbah antara yang kudus dengan yang nista (the Sacred and the profane) telah dilahirkan dari rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu - budaya Melayu itu sendiri terhasil dari agama Islam. Oleh itu, sekiranya peristilahan dari agama lain mengenai faham-faham utama diterjemahkan dalam bahasa Melayu, ia wajiblah mencerminkan kelaziman Melayu, yang berpunca dari agama Islam.

Mendakwa

Paderi Lawrence juga mendakwa, “Kami mengikut Bible,” mengenai penggunaan istilah ‘Allah’ bila merujuk kepada istilah ‘God’. Apakah itu benar? Apakah beliau betul-betul menggunakan Bible sebagai sumber rujukannya? Terjemahan atau versi Bible mana yang beliau rujuk? Terdahulu kita telah memetik laporan media bahawa Paderi Lawrence mendakwa, “Semenjak awal abad ke-19, para penganut agama Katolik di Malaya telah memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan ‘Allah’ digunakan merujuk kepada God, dan para penganut Katolik Malta juga menggunakan istilah ‘Allah’ untuk merujuk God dan demikian juga para penganut Kristian di Indonesia, Pakistan dan Asia Barat.”

Jelas di sini bahawa, sumber rujukannya bukanlah Bible seperti yang didakwanya, tetapi masyarakat Katolik abad ke-19 Malaya, Malta, Indonesia, Pakistan dan Asia Barat. Dengan demikian, Paderi tersebut mengandaikan masyarakat itu satu kejadian hidup (being) yang pasti boleh berfikir dan bertindak berdasarkan akal fikiran. Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, masyarakat bukanlah kejadian hidup dan justeru itu tidak mempunyai kebolehan berfikir dan bertindak secara aqliah. Sekiranya sesuatu itu tidak boleh berfikir secara aqliah, bagaimana ia boleh dikutip sebagai sumber rujukan yang sah, apatah lagi dalam hal-ehwal nisbah hubungan antara yang kudus dan yang nista? Tambahan pula dan lebih penting, perkataan ‘Allah’ adalah nama khas (proper name), sedangkan kalimat ‘Tuhan’ (’God’) adalah istilah umum yang merujuk kepada objek tumpuan kemuliaan teragung yang tiada nama, Pencipta Yang Maha Esa dan Pemerintah alam semesta. Berdasarkan kepada hakikat bahawa perkataan ‘Allah’ adalah nama khas, ia bukanlah istilah yang mencerminkan bahasa kebangsaan.

Justeru, hujah Paderi Lawrence yang mendakwa Bible Melayu menggunakan istilah itu, seolah-olah penggunaan istilah itu dalam bahasa Melayu mencerminkan bahasa kebangsaan, adalah karut semata-mata. Tambahan pula, walaupun seseorang itu mungkin mengakui bahawa benar orang-orang Kristian Arab di Asia Barat menggunakan istilah ‘Allah’, mereka tidak menggunakannya merujuk kepada istilah ‘God’ yang tercermin dalam Bible atau terjemahan-terjemahan Bible dalam bahasa Arab. Kalaupun mereka ada menggunakan istilah ‘Allah’ dalam pertuturan, itu adalah kerana mereka menuruti kelaziman orang Arab sejauh mana yang berkenaan dengan kebudayaannya, bukan untuk membayangkan sehimpun kepercayaan i’tiqad yang tertentu. Pernahkah Paderi Lawrence atau Rev. Herman Shastri membaca terjemahan Bible dalam bahasa Arab? Apakah mereka memahami bahasa Arab?

Dari segi falsafah maknawi, tidak terdapat tasawwur kefahaman mengenai ‘Allah’ dalam agama Kristian, dan dalam sebarang agama yang lain pun begitu juga; oleh kerana itu agama-agama tersebut tidak berhak untuk menggunakan istilah ‘Allah’.

Apabila Perdana Menteri memberikan kebenaran kepada dialog ‘antara-agama’, pihak-pihak yang terlibat telah bersetuju yang dialog tersebut tidak akan bertentang hujah mengenai akidah, berdasarkan kepada hakikat bahawa pelbagai ajaran agama telah pun “bersetuju untuk tidak bersetuju” dalam perkara-perkara berkisar akidah. Secara amnya semua kalangan yang terbabit telah pun bersetuju dengan ketetapan tersebut. Walau bagaimanapun, sekarang, tampaknya Paderi Lawrence dan Rev. Herman Shastri tidak berpuas hati sekadar berbahas mengenai perkara-perkara akhlakiah, justeru kita terpaksa menangkis hal-ehwal berkaitan i’tiqad yang ditimbulkan tadi.

Tidak ada disebut mengenai nama khas Tuhan dalam Bible. Jika ada yang mendakwa nama Tuhan adalah Jesus, maka kenapa istilah ‘Tuhan’ (’God’) diterjemah dengan menggunakan kalimat ‘Allah’ dan bukan ‘Jesus’? Oleh kerana nama khas Tuhan tidak disebut dalam Bible, berlakulah suatu kekaburan mengenai siapa yang disembah. Apakah nama khas Tuhan dalam agama Kristian? Sesungguhnyalah kita boleh menghujahkan bahawa ketiadaan nama khas-Nya bercanggah dengan sifat Tuhan Yang Maha Mengetahui.

Tidakkah Tuhan mencipta manusia supaya dia mengenal dan menyembah-Nya? Tetapi siapakah yang disembah oleh manusia sekiranya dia tidak kenaI siapa Tuhan? Oleh kerana kita telah berhujah bahawa kalimat ‘Allah’ adalah nama khas dan pengertian sedemikian tidak ada dalam agama Kristian atau apa-apa juga agama lain, kita bolehlah dengan ini menyimpulkan bahawa sumber rujukan sebenar Paderi Lawrence dan Rev. Herman Shastri bukanlah Bible atau perkumpulan masyarakat Katolik abad ke-19 di Malaya, Malta, Indonesia, Pakistan, dan di Asia Barat, tetapi sumber asal mereka adalah al-Quran.

Oleh itu, marilah kita meneliti apa yang dinyatakan dalam al-Quran mengenai siapa Tuhan. Untuk tujuan ini, kita rujuk kepada surah al- Quran yang ke-112 dan pengenalan tafsirnya. Pengantar huraian surah tersebut berbunyi, Peliharalah iman agar sentiasa murni dan tiada cemar. Allah benar wujud, Yang Maha Esa, Yang Maha Tunggal; Yang Maha Kekal Diperlukan, sunyi dari sebarang keperluan; kepada-Nya bergantung semua perkara, kepada-Nya kembali semua benda; Dia tidak beranak, berbapa atau berpasangan. Bagi-Nya tiada suatu pun tara. (Lihat Abdullah Yusuf Ali, The Meaning of the Holy Qur’an, Brentwood, Maryland: Amana Corporation.) Jelas bahawa bahagian akhir penerangan tafsir menyanggah pemerian Tuhan Tiga-Bersatu (Trinity) oleh Bible.

Sekiranya pembaca meneliti surah itu, ia berbunyi, Katakanlah: Dia adalah Allah, Yang Maha Esa. Allah, Yang Maha Kekal Abadi tiada berkesudahan. Tiada Dia beranak, dan tiada pula Dia diperanakkan. Dan bagi-Nya tiada suatu pun tara.

Wajib

Dari awal-awal lagi nama Tuhan dinyatakan, Allah. Ini diikuti dengan pemerian bahawa Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa yang kepada-Nya pengabdian wajib diserahkan, maha suci lagi maha murni yang nyata tiada taranya dengan khalayak makhluk-Nya; sebarang benda yang lain semuanya hanya bayangan pucat bernisbah kepada-Nya.

Allah tidak mungkin difahami sebagai memiliki anak atau bapa kerana itu akan memasukkan sifat benda bernyawa dalam kefahaman kita mengenai-Nya; sifat-sifat dan hakikat-Nya tunggal tersendiri tidak ada tara-Nya (ringkasan kepada catatan no. 6296, Abdullah Yusuf Ali, The Meaning of the Holy Qur’an, Brentwood, Maryland: Amana Corporation, 1991, ms. 1714). Ayat “tiada Dia beranak, dan tiada pula Dia diperanakkan” menyangkal kefahaman agama Kristian mengenai Tuhan, “Bapa”, “Anak”, dan seterusnya (rujuk catatan no. 6299 dari sumber yang sama). Bahagian terakhir surah tersebut, Dan bagi-Nya tiada suatu pun tara memberi amaran ‘Jangan menganggapi Tuhan dalam sifat rupa bentuk manusia (anthropomorphism), iaitu kecenderungan untuk menganggapi Allah menurut rupa dan bentuk serta sifat kita sendiri, satu kecenderungan licik yang menyusup dalam setiap zaman dan di kalangan semua bangsa (lihat catatan no. 6300 sumber di atas).

Nyata bahawa ‘Tuhan’ Islam bukanlah ‘Tuhan’ Kristian. Saya nyatakan kepada para pembaca, bahawa pandangan Paderi Lawrence dan Rev. Herman Shastri tidak mencerminkan sebahagian besar penganut Katolik, gereja, atau Paus. Sesungguhnya niat serta tujuan mereka bukan sahaja untuk menyerang dan menimbulkan kekalutan di kalangan orang-orang Islam, tetapi juga para penganut Katolik. Kaedah mereka adalah melalui bahasa; akan tetapi, oleh kerana kita menghujahkan hakikat bahawa bahasa dan fikiran adalah saling mencerminkan satu sama lain, sebarang istilah dari satu tradisi pemikiran, apabila diterjemahkan perlulah membayangkan tradisi pemikiran yang asal, jika tidak maka makna sebenar peristilahan yang diterjemahkan akan menjadi kacau-bilau.

Dalam hal ini, mereka menghujahkan bahawa menurut tradisi pemikiran Katolik istilah ‘God’ diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai ‘Allah’, satu kalimat yang mencerminkan tradisi pemikiran Islam. Dan justeru itu, makna sebenar istilah asal ‘God’, seperti tergambar dalam tradisi pemikiran Katolik, dengan sengaja sedang dikelirukan.

Tadi telah kita sebut bahawa, dalam kenyataan yang dilaporkan akhbar The Star (28 Disember 2007), Paderi Lawrence menegaskan, “Kami telah mengambil keputusan supaya kedudukan kami dari segi undang-undang mengenai penggunaan perkataan tersebut diselesaikan melalui ketetapan mahkamah.” Apakah mahkamah memiliki kuasa ke atas tradisi pemikiran agama? Apakah beliau berpendapat mahkamah memiliki kuasa membuat ketetapan mengenai siapa Tuhan? Apakah beliau menyangka mahkamah memiliki kuasa ke atas sekian banyak generasi ilmuwan dan sarjana terpelajar yang pandai lagi berkeahlian mengenai aqa’id?

Eloklah saya mengingatkan beliau, dalam surat peringatan dari pejabat Timbalan Perdana Menteri bertarikh 16 Mei 1986 berkenaan empat peristilahan Islam yang tidak boleh digunakan dalam Bible, dalam apa-apa jua keadaan iaitu: ‘Allah’, ‘Kaabah’, ‘Baitullah’, dan ‘Solat’. Difahamkan keputusan Kabinet itu masih mengikat; dalam hal ini, sebarang tindakan yang dikemukakan oleh pihak Paderi Lawrence ke mahkamah bukan sangat untuk mencabar kedudukan undang-undang berkenaan penggunaan oleh gereja Katolik akan kalimat ‘Allah’ untuk menterjemahkan istilah ‘Tuhan’ (’God’) dalam Bible. Tetapi lebih dahsyat, ia satu cabaran yang menentang keputusan Jemaah Menteri.

Malaysia memiliki Jemaah Menteri dan Parlimen perwakilan rakyat adalah bertonggakkan Rukunegara. Tiang seri pertama Rukunegara dalam bahasa Inggerisnya, “Belief in God” yang merupakan terjemahan cermat lagi tepat daripada bahasa Melayu “Kepercayaan kepada Tuhan”. Terjemahan Inggerisnya tidak berbunyi “Belief in Allah” kerana, barangkali kalau begitu Rukunegara akan dituduh sebagai memaktubkan Malaysia negara Islam atau Islamic State.

Anda tidak memiliki hak atau keizinan untuk menterjemahkan peristilahan yang terdapat dalam satu tradisi pemikiran akidah agama dengan menggunakan ungkapan-ungkapan tradisi pemikiran akidah agama yang lain, khususnya ungkapan-ungkapan yang merujuk kepada siapa itu Tuhan yang tidak ada faham tasdiqnya dalam tradisi anda.

Perlihatkan rasa hormat kepada istilah-istilah penting dan erti-erti maknawi yang mencerminkan agama Islam dalam bahasa Melayu, persis sikap orang Islam yang menghormati istilah dan faham dasar anda. Kami tidak merujuk tempat pemujaan anda selaku masjid, tetapi sebagai gereja, kuil, candi dan seterusnya. Kami tidak menganggap pemimpin sembahyang berkumpulan anda sebagai imam, melainkan selaku paderi, sami dan seterusnya. Kami tidak merujuk kepada tumpuan sembahan anda sebagai Allah tetapi sebagai Tuhan. Kami tidak menafikan hak mana-mana golongan penganut agama lain menterjemahkan buku suci masing-masing dalam bahasa Melayu; cuma, seandainya ada yang hendak berbuat demikian, maka golongan tersebut mestilah memiliki ilmu dan keahlian mengenai bahasa Melayu, cukup berdaya cipta lagi kreatif untuk menggunakan peristilahan yang benar-benar mencerminkan tradisi pemikiran akidah agama masing-masing. Sementara itu, adalah wajar bagi Paderi Lawrence Andrews dan Rev. Herman Shastri bersikap lebih teliti, waspada dan berhati-hati.

Agong: Mufti sertai sidang

Ini bagus..Mufti duduk dlm kabinet meeting sekali..tgk cam mana diorang buat keputusan...ada amik kira hukum syarak ke tak masa buat keputusan...tgk2 kan ler Dato Mufti.
-----------------------------------------------------------------------------

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin memperkenankan agar mufti dan timbalan mufti menyertai setiap persidangan Majlis Raja-raja serta semua mesyuarat kerajaan negeri dan Pusat.

Pengerusi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan, Datuk Dr Abdul Shukor Husin, berkata perkenan baginda itu selaras dengan usaha menaik taraf dan memberi pengiktirafan kepada institusi mufti sebagai penasihat agama dan undang-undang di peringkat persekutuan dan negeri.

“Mufti adalah institusi yang sangat penting dalam masyarakat, sebab itu Tuanku menitahkan supaya institusi mufti ini dipertingkatkan dengan diberi input yang mencukupi,” katanya.

“Perkenan ini juga membuktikan institusi mufti masih mendapat perhatian dan kepercayaan,” katanya.-Bernama

Kerajaan 3 beranak dan Lim Kit Siang

Politik + bisness...org dulu berpolitik tak da lak sibok nak buat bisness. Politik=power..semua lu buat untuk rakyat la bro...lu just pentadbir jerr..kalo itu pun tak bleh buat..tukar org lain la.
---------------------------------------------------------------------------------


Orang-orang politik dikejutkan dengan kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad keluar (bahasa yang sebenarnya berhenti) dari menjadi ahli UMNO walau pun dia mempunyai keahlian 01 jika mengikut senarai ahli UMNO Baru yang ditubuhkan olehnya sebaik sahaja UMNO dibatalkan pendaftaran oleh Mahkamah dalam kes 11 orang vs Setiausaha Agong UMNO berhubung dengan pemilihan jawatan dalam UMNO di tahun 1987.

Sementara itu akhbar Utusan Malaysia hari ini 19hb Mei 2008 pula melaporkan akan perihal Lim Kit Siang selaku penasihat DAP dan ahli Parlimen Ipoh Timor, Perak akan desakan meminta Perdana Menteri, Abdullah Hj Ahmad menarik balik laporan Polis yang dibuat oleh pegawainya berhubung dengan terdedahnya maklumat yang dikira mendahului kerajaan dalam isu Suruhanjaya Di Raja yang menyiasat kes Video Lingam.

Tun Dr Mahathir Mohamad telah membuat pendiriannya untuk tidak menyertai UMNO bagi satu waktu yang bergantung kepada Abdullah Hj Ahmad masih atau berhenti dari menjadi Presiden UMNO dan seterusnya Perdana Menteri. Ini memberi pengertian bahawa Tun Dr Mahathir Mohamad tidak mahu bersubahat lagi dengan apa yang dilakukan oleh UMNO di bawah kepimpinan Abdullah Hj Ahmad yang dirasakan merugikan agama, bangsa dan tanahnya air.

Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad tidak salah, sama dari segi perjuangan yang dianutinya atau dari sudut pandang agama. Mungkin kepada tafsiran Tun Dr Mahathir Mohamed bahawa perbuatan Abdullah Hj Ahmad terus merompak di siang hari oleh keluarganya yang bernama Kamalludin Hj Ahmad satu perbuatan mungkar, belum lagi perkara-perkara lain.

Dalam Islam memang diajar kepada pengikutnya jika ada sesuatu yang mungkar, mesti dilawan melalui tangan, yang mungkin bermaksud berperang atau yang keduanya dengan lidah yang juga bermaksud untuk berkata-kata atau bercakap dan terakhir dan di kira paling lemah ia di dalam hati bagi menyatakan tidak ada persetujuan perkara tersebut.

Bila Tun Dr Mahathir Mohamad keluar dari UMNO mungkin dia telah melalui proses tersebut dan terakhirnya dia membuat tindakan seperti orang Islam yang berada di dalam kumpulan peminum arak, walau pun tidak ikut sama meminum, minuman yang dilarang oleh Islam itu tetapi dia menyedari bahawa hukum berdosa adalah sama dengan yang meminum. Akhirnya di dalam Islam diarahkan bagi tidak terlibat dengan dosa, ditinggalkan sahaja kumpulan yang sedang berpesta dosa itu.

Kesimpulannya Tun Dr Mahathir Mohamad sudah berfikir panjang dalam tindakan itu. Tidak ada siapa perlu sedih dan gelisah atas keputusannya jika memahami apa yang sebenarnya berlaku. Hanya mereka yang dibutakan mata dan ditutup hati untuk tidak berfikir. Biarlah Tun Dr Mahathir Mohamad tenang dengan kematian yang akan menjemputnya bila-bila masa seperti pemimpin UMNO yang mati di luar UMNO sebelumnya kecuali Almarhum Tun Abd Razak Hussein.

Telah tiba masa orang Melayu khasnya ahli UMNO mencari dan mentafsir perkara-perkara yang baru yang tidak disedarinya yang lebih mengancam Melayu atau UMNO sendiri untuk bangun dari katil perbaringannya setelah sakit ditimpa kekalahan dalam PRU yang ke 12 baru-baru ini.

Isu tindakan dan cadangan Menteri yang terkenal sebagai penagih arak tegar untuk mengujudkan Suruhanjaya Kehakiman yang diertikan oleh Tun Dr Mahathir Mohamad di masa depan jika Perdana Menteri masih di dalam UMNO, Perdana Menteri itu hanya sekadar seorang posmen yang menghantar surat kepada Yang Di Pertuan Agong.

Dan yang terpenting jika setiap Hakim melalui tapisan luar politik, maka akan terdapat nanti Hakim yang terfikir sudah di putihkan dengan kuasa yang ada akan menjurus kepada rasuah, di mana Hakim itu tidak dipercaya orang mengamalkan rasuah. Begitu juga jika di suatu masa jika Hakim yang tidak lagi mahu mengikut kehendak kepentingan Umum yang digalakkan dalam ilmu Fiqh akan mengikut tafsiran Perlembagaan atas kepentingan undang-undang semata seperti mana berlaku di Pakistan, bila Hakim dan Kerajaan tidak boleh se iring dalam banyak masalah.

Begitu juga hari ini isu yang terpenting dari membincangkan soal Tun Dr Mahathir Mohamed yang keluar UMNO, cuba bincangkan apa sebab nya tanpa sebab dengan tiba-tiba Lim Kit Siang seperti menyokong akbar yang dikira tidak pernah memberi ruang kepadanya sehingga berita sokongannya itu tidak disiarkan dalam akbar yang kena dakwa. Apa permainan politik ini?

Lim Kit Siang, jika dikaji dalam masa sebelum PRU dan selepas PRU ke 12 jarang sekali membangkitkan isu-isu yang melibatkan perniagaan anak Saya Perdana Menteri Abdullah Hj Ahmad yang saya masih di sini. Kenapa kah Lim Kit Siang tidak membangkitkan isu penglibatan Kamalludin Bin Abdullah dalam berbagai perniagaan khususnya penglibatan Scomi dan ECM Libra. Dan juga kenapa tidak meneruskan supaya kerajaan mendakwa Khairy Jamalludin Abu Bakar dalam isu pembelian dan penjualan saham Ecm-Libra.. kenapa dan kenapa?

Banyak orang yang tidak tahu bahawa salah seorang penasihat yang mengatur negara ini yang dimiliki oleh Abdullah Hj Ahmad ialah seorang penagih arak yang bernama Kalimullah anak lelaki Masheerul Hassan disamping seorang lelaki yang pandai menyembunyikan diri atau low profile yang bernama Zulkefli Abdul, sahabat baik Lim Kit Siang.

Perhubungan mereka tidak lah di tempat terbuka tetapi ada masanya mereka akan bertemu juga di Hotel mewah. Maka jika dikatakan bahawa Kalimulllah Masheerul Hassan adalah orang perantara Kamalludin Abdullah yang memiliki berbagai kepentingan perniagaan semasa PRU tempoh hari ada menyumbang wang yang banyak juga kepada tabung PRU DAP. Oleh itu siapa yang mensabotaj UMNO? Satu persoalan yang menarik dan mengapa isu ini ditimbulkan sendiri oleh Abdullah Hj Ahmad dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO? Sendiri mahu fikirlah.

Yang jelas dan nyata, jika kita rajin membaca surat khabar dan berita-berita semasa perihal kerajaan parti campuran di terajui oleh DAP di Pulau Pinang dan juga ucapan-ucapan Lim Kit Siang di Parlimen dalam tempoh persidangan sekarang, jarang terdapat ucapan yang menjurus kepada hentaman atau serangan kepada soal-soal perniagaan keluarga Seri Perdana. Sebilangan besar ditumpukan kepada isu yang lain khas sasaran kepada Najib Tun Razak.

Dan satu persoalan besar kepada Lim Kit Siang ialah di mana anak nya Lim Guan Eng menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang ialah sewajarnya orang-orang Melayu kena bertanya, kenapa projek-projek yang diketahui milik kepentingan Seri Perdana akan diteruskan di Pulau Pinang. Kenapa tidak dibatalkan sahaja? Itu kena di jawab oleh Lim Kit Siang, adakah kaitan dengan Kalimullah anak lelaki Masheerul Hassan!

Kes Altantuya adalah isu popular oleh Lim Kit Siang tetapi pernah kah mereka bertanya, siapa antara polis yang ditangkap di atas tuduhan membunuh itu? Adakah dia juruiring kepada Najib Tun Razak atau Abdullah Hj Ahmad dan kenapa dia di tangkap di Pakistan ?

Bagaimanakah C4 dikaitkan dengan Kementerian Pertahanan eatelah di mahkamah di akui bahawa persenjataan termasuk bahan letupan dikeluarkan daripada Pasukan PDRM.

Kenapa Kementerian Keselamatan Dalam Negeri yang di bawahnya ada Jabatan Imigresen tidak di kaitkan akan kehilangan data-data kemasukan si mati yang dibunuh?

Dan terakhir sehingga sekarang setelah kes dibicarakan dan serangan Lim Kit Siang ialah kepada soal komisen pembelian senjata perang itu tetapi tidak pernah disoalkan oleh Lim Kit Siang, duit kepada siapa di bayar dan di mana duit itu sekarang.

Semua persoalan ini boleh juga di tanya dengan Tun Dr Mahathir Mohamed yang sudah tidak menjadi ahli UMNO, dari mana bermulanya idea pembelian senjata perang itu dan apa yang terjadi sebelum dia bersara menjadi Presiden UMNO dan Perdana Menteri, pergilah tanya mungkin ada cerita yang tersembunyi.

Sang Kelembai: Berdasarkan komen pembesar UMNO terhadap Tun Dr Mahathir Mohamed yang berhenti sekejap menjadi ahli UMNO Nampak sangat tak cerdik dan memakai akal. Bukan soal keluar menjadi ahli UMNO oleh Tun Dr Mahathir Mohamed secara bersurat dan keputusan muktamad akan terletak kepada Fasal 10.7 Perlembagaan UMNO, bagaimana mereka mendahului Perlembagaan UMNO jika perkara itu tidak dibincangkan dulu di dalam Mesyuarat Majlis Tertinggi. Agaknya memang UMNO ini ditadbirkan oleh “one man show” Abdullah Hj Ahmad dengan penasihatnya Zulkefli Abdul dan Anuar Zaini.

ARKIB