Saturday 21 January 2012

2011..RAMPASAN DADAH TERBESAR

KUALA LUMPUR 7 April - Polis sekali lagi melakar kejayaan besar apabila berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah antarabangsa dengan merampas 158.47 kilogram (kg) heroin, bernilai RM110 juta di sebuah rumah di Taman Puncak Jalil, di sini semalam.

Kejayaan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Bukit Aman itu diperoleh kurang 24 jam selepas merampas 71.4 kg syabu bernilai RM17.9 juta bersama wang tunai berjumlah RM7.1 juta di ibu negara kelmarin.

Pengarahnya, Datuk Noor Rashid Ibrahim berkata, rampasan dadah terbesar dicatatkan tahun ini, hasil maklumat awam dan risikan polis yang percaya ia diseludup melalui pelabuhan.

Katanya, setelah melakukan risikan di kawasan rumah teres yang disewa oleh dua lelaki warga Pakistan berusia 28 dan 30 tahun itu, satu serbuan dilakukan pukul 4.30 petang.

"Ketika itu kedua-dua suspek sedang memunggah 227 kotak berisi barangan seperti selimut, cadar, tuala dan baju kemeja.

"Hasil pemeriksaan, 14 daripada kotak yang mempunyai berat mencurigakan itu menemui 155 bungkusan berisi dadah jenis heroin dalam bungkusan selimut," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Beliau berkata, hasil siasatan mendapati dadah berkenaan yang telah siap diproses dan dibungkus akan diseludup keluar oleh sindiket sama ke luar negara.

Menurutnya, kedua-dua suspek kini direman mengikut Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Noor Rashid memberitahu, tiga bulan lalu, ahli sindiket sama ditahan di Australia kerana menyeludup masuk 80kg dadah jenis heroin.

ARKIB