![](http://1.bp.blogspot.com/_xw2Fc2vH0v0/SJqxTCt40QI/AAAAAAAAAzw/AF3DpDiO3mc/s320/svINDON-420x01.jpg)
Khamis, 07 Ogos 2008
JAKARTA: Seorang bekas pegawai kanan perisikan Indonesia akan didakwa atas pertuduhan membunuh aktivis hak asasi, Munir Said Thalib, yang mati akibat keracunan arsenik dalam penerbangan dari Singapura ke Belanda pada 2004, menurut laporan kelmarin.
Jurucakap pejabat Peguam Negara, Bonaventura Daulat Nainggolan, berkata para pendakwa mempunyai masa 20 hari selepas menerima dosir polis untuk memfailkan kes terhadap Muchdi Purwoprandjono, bekas timbalan ketua Badan Intelijen Negara (BIN), Indonesia.
'Kami akan mendakwanya dengan pertuduhan melakukan pembunuhan terancang, yang boleh dikenakan hukuman mati,' kata Bonaventura.
![](http://3.bp.blogspot.com/_xw2Fc2vH0v0/SJqxTBPWR9I/AAAAAAAAAz4/Tm3RsxEma6E/s320/svINDON-420x02.jpg)
Usman Hamid, pemimpin Kontras sekarang, berkata keputusan pemerintah untuk membicarakan Muchdi merupakan satu perkembangan yang penting dalam sistem kehakiman Indonesia.
'Ini kali pertama seorang bekas pegawai kanan tentera ditahan dan akan dibicarakan kerana kes jenayah,' kata beliau.
Awal tahun ini, bekas juruterbang Garuda Indonesia, Pollycarpus Priyanto, dikenakan hukuman 20 tahun penjara, manakala mantan Pengerusi Garuda, Indra Setiawan, dikenakan hukuman setahun penjara kerana terlibat dalam pembunuhan Munir.