Thursday 8 November 2012

Al-Quran untuk semua umat manusia

Al-Quran diturunkan untuk semua umat manusia beriman kepadanya. Didalam Al-Quran, Allah Taala telah memilih Islam yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW sebagai agama yang terbaik untuk dianuti oleh umat manusia. Manusia diwajibkan beriman kepada segala kejadian yang diciptakan oleh Allah Taala.

Melalui Al-Quran, Allah Taala memerintah agar semua umat manusia beriman kepadaNya kerana Al-Jannah adalah tempat tinggal terakhir bagi orang-orang yang beriman dan manusia-manusia yang mengucapkan dua kalimah syahadah.

Manusia yang berjaya menjejakkan kakinya ke Al-Jannah adalah kerana mereka beriman dan memeluk agama Islam, agama Nabi Ibrahim AS dan Muhammad SAW.

Sebelum al-Quran diturunkan manusia hidup dalam kesesatan bertuhankan hawa nafsu dan menyekutukan Allah. Selepas al-Quran diturunkan, kesesatan disinari kebenaran dan hidup bertuhankan hawa nafsu berubah kepada hidup bertuhankan Allah.

Dalam erti kata lain, penurunan al-Quran membawa rahmat perubahan kepada kehidupan dan ketamadunan manusia.

Firman Allah bermaksud,

Ramadan, bulan yang dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi umat manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan batil). (Surah al-Baqarah, ayat 185)

Berdasarkan ayat di atas, wahyu diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW secara langsung mengangkat martabat Baginda sebagai rasul Allah dan menjadi rahmat bagi sekalian alam.

Petunjuk (al-Quran) dibawa Baginda SAW ini membawa perubahan besar kepada kehidupan umat manusia, khususnya masyarakat Arab jahiliah dan perubahan itu mencakupi pelbagai bidang dan aspek:

Aspek keagamaan. Bangsa Arab Jahiliah menyembah patung dan batu berhala serta menyembelih binatang ternakan di hadapan patung itu sebagai korban untuk memuliakannya.

Apabila datang agama Islam (al-Quran) membawa petunjuk dan pedoman daripada Allah, maka kehidupan jahiliah terus lenyap kerana al-Quran mengatur kehidupan seperti percaya kepada keesaan Allah, hari akhirat, syurga, neraka, mengenai ibadat seperti solat, puasa, zakat dan haji.

Jelaslah, ajaran al-Quran melarang keras amalan penyembahan patung, berhala, matahari, bulan atau makhluk lain selain Allah. Sebaliknya mereka diajar bahawa yang berhak disembah hanyalah Allah.

Aspek kemasyarakatan. Bangsa Arab sebelum Islam tidak berdisiplin dan tidak taat kepada pemimpin tetapi diturunkan al-Quran, keadaan itu berubah. Islam menyedarkan mereka erti dan pentingnya disiplin serta ketaatan dalam kehidupan.

Bagi membentuk sebuah masyarakat yang aman dan harmoni, al-Quran memberi petunjuk dan garis pemisah mengenai kriteria antara akhlak terpuji dengan akhlak tercela.

Selain itu banyak lagi dasar umum masyarakat dibawa oleh Islam seperti hubungan antara individu dengan individu, antara individu dengan masyarakat, antara suatu kelompok masyarakat dengan kelompok lainnya, undang-undang kekeluargaan sehinggalah kepada soal kenegaraan.

Islamlah juga yang mula mengangkat kedudukan kaum wanita dengan memberikan hak kepada mereka sesuai dengan kewanitaannya. Di samping itu, Islam menegakkan pula ajaran persamaan antara manusia dan membanteras perhambaan.

Aspek siasah (politik). Bangsa Arab sebelum Islam berada dalam keadaan berpecah-belah, ‘asabiyyah (kesukuan), berpuak dan kabilah yang sempit. Yang wujud ketika itu kaum Arab, Parsi, Tauran dan kaum lain.

Keadaan itu berubah apabila turunnya al-Quran membawa ajaran sebenar. Semua umat manusia diseru supaya meninggalkan segala bentuk ikatan jahiliah yang sempit, sebaliknya disaran supaya bersatu membentuk satu ummah.

Firman Allah yang bermaksud:

â€Å“Sesungguhnya (agama Islam) ini adalah agama kamu semua; agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku.” (Surah al-Anbiya’, ayat 92).

Begitulah Islam berjaya mengatasi sikap taksub bangsa dan warna kulit, malah menyeru semua bangsa supaya bersatu menjadi satu ummah bersaudara dan tidak lagi mengenal kelebihan kecuali berdasarkan kekuatan iman serta takwa kepada Allah.

Aspek ekonomi. Al-Quran memberikan batasan pemilikan bagi individu, masyarakat dan negara. Telah ditentukan perkara yang boleh dimiliki oleh individu dan dilarang.

Peraturan yang terdapat dalam al-Quran memberikan petunjuk pelaksanaan mengenai jaminan pemenuhan keperluan asas setiap individu menurut kadar dan dalam keadaan seadil-adilnya.

Berdasarkan penjelasan di atas, penurunan al-Quran adalah peristiwa agung dan terbesar pada Ramadan. Penurunannya telah membawa perubahan besar kepada alam ini dan berperanan mengubah kehidupan umat manusia pada masa lampau, kini dan hadapan.

Jelaslah, melalui peristiwa besar dan agung ini, hala tuju kehidupan manusia menjadi lebih kemas dan teratur dengan berpandukan petunjuk serta pedoman yang diwahyukan Allah.

Nota: Al-Quran adalah Al-Furqan iaitu pembeza antara yang salah dan yang benar, antara yang beriman dan tidak beriman kepada Allah Taala dan RasulNya.

5 RUKUN ISLAM

1. Mengucap dua kalimah syahadah.
2. Mendirikan solat.
3. Menunaikan zakat.
4. Berpuasa di bulan Ramadhan.
5. Menunaikan haji di Mekah bagi yang mampu.

6 RUKUN IMAN

1. Beriman dengan Allah subhanahu wa taala.
2. Beriman dengan para malaikat.
3. Beriman dengan kitab-kitab suci.
4. Beriman dengan para Rasul.
5. Beriman dengan Hari Akhirat.
6. Beriman dengan Qada' dan Qadar.

IHSAN
Beribadat semata-mata kerana Allah Taala.

ARKIB